Wednesday, September 24, 2008

Topik 6

TOPIK 6 : PEMERENGGANAN


 

PENGENALAN

Perenggan merupakan gabungan ayat yang sempurna untuk menghuraikan sesuatu idea dan menjadi sebahagian daripada penulisan yang lebih panjang ( Sullivan, 1976 ).

Perenggan juga boleh dianggap sebagai kumpulan ayat yang mengembangkan sesuatu idea tentang sesuatu perkara dengan memberi huraian khusus untuk menyokong dan menghuraikan idea tersebut ( Spangler, 1989 ).

IDEA PERENGGAN PENULISAN

Dalam penulisan,idea dihuraikan melalui perenggan manakala perenggan pula mambentuk penulisan.Urutan ini tidak boleh diubahsuai atau dipinda.


 

KUMPULAN PERENGGAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga ( 2005: 1183 ) perenggan ialah bahagian daripada muka atau bab dalam buku ( rencana dan yang lain lagi ) yang terdiri daripada beberapa baris dan paragraph.


 

• Perenggan pengenalan

• Perenggan isi

• Perengan Penutup


 

PERENGGAN PENGENALAN

Setiap penulisan mesti memiliki perenggan pengenalan. Dalam perenggan pengenalan ini, hendaklah diperkenalkan tajuk atau memperkenalkan sesuatu perkara yang dapat menarik perhatian pembaca. Seeloknya, perenggan pengenalan hendaklah dibuat ringkas dan am sahaja , memadai tiga atau empat ayat.Perenggan pengenalan dibina oleh tiga komponen iaitu ayat rangsangan, huraian sokongan dan ayat arah.


 


 


 


 


 


 

Ayat Rangsangan

Ayat pertama dalam perenggan pengenalan disebut ayat rangsangan. Ayat ini bertujuan merangsang pembaca ( Baikey Jr. Et. Al., 1989 ). Ayat ini bertujuan untuk menghasilkan beberapa keadaan pada diri pembaca, seperti rasa ingin tahu, rasa kurang percaya, rasa bimbang, rasa marah, rasa terkejut, rasa hairan dan seumpamanya. Untuk tujuan ini, ketepatan pemilihan perkataan adalah amat penting.


 

Ayat Arah

Ayat terakhir dalam perenggan pengenalan ialah ayat arah. Kebanyakan penulis lebih gemar menggunakan istilah ini kerana ayat berkenaan menunjukkan arah penulisan yang hendak dihasilkan; persoalan, perkara, aspek atau bidang yang akan dihuraikan secara khusus dalam sesebuah penulisan. Ayat arah boleh dinyatakan secara ekspilit atau secara implisit, iaitu secara terus atau secara tersembunyi.


 

PERENGGAN ISI

Perenggan isi merupakan nadi sesebuah penulisan. Setiap perenggan isi hanya menghuraikan satu isi atau satu idea sahaja ( kecuali penulis yang betul-betul mahir ). Bertujuan memudahkan proses penghuraian isi yang akan membentuk perenggan. Setiap perenggan isi haruslah mempunyai penjelasan yang tepat, padat dan sempurna.


 

PERENGGAN PENUTUP

Kalau perenggan pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti penulisan atau karangan itu, maka perenggan penutupnya juga hendaklah dapat menghasilkan kepuasan kepada pembaca. Pendeknya, perenggan penutuplah yang menjadikan kesimpulan atau rumusan ataupun akhiran bagi sesuatu penulisan atau karangan.


 

JENIS-JENIS PERENGGAN

Tahap kefahaman seseorang boleh ditingkatkan sekiranya mengetahui dan mengenali jenis-jenis perenggan. Ada lima jenis perenggan yang biasa digunakan dalam penulisan iaitu:

• Perenggan Pentakrifan

• Perenggan Analogi

• Perenggan Analisis

• Perenggan Perbandingan

• Perenggan Deskripsi


 


 

PERENGGAN PENTAKRIFAN

Perenggan jenis pentakrifan bertujuan untuk mentakrif, menerangkan, atau menjelaskan makna sesuatu. Beberapa kaedah boleh digunakan untuk memberi takrif kepada sesuatu perkara seperti membuat analisis, perbandingan, penerangan, atau menggunakan kiasan.


 

PERENGGAN ANALOGI

Perenggan analogi menggunakan kiasan untuk menjelaskan topik tertentu. Adakalanya tiada terdapat ayat topik dalam perenggan ini tetapi idea utama jelas diperlihatkan dengan penggunaan kiasan tersebut.


 

PERENGGAN ANALISIS

Sesuatu topik akan dianalisis dan dihuraikan kepada sebab-sebab, kesan-kesan, alasan-alasan, kaedah-kaedah, dan tujuan-tujuan yang boleh menyokong idea utama. Kaedah ini dinamakan kaedah deduktif, iaitu perenggan dimulakan dengan umum dan diikuti dengan idea-idea yang lebih khusus. Sebaliknya, dalam kaedah induktif pula, perenggan itu dimulakan dengan idea-idea khusus dan diakhiri dengan idea umum.


 

PERENGGAN PERBANDINGAN

Perenggan jenis perbandingan digunakan untuk menunjukkan perbandingan atau perbezaan antara perkara tertentu. Ayat pertama biasanya menyatakan idea utama yang merupakan perkara atau subjek yang diperbandingkan, iaitu persamaan dan / atau perbezaannya.


 

PERENGGAN DESKRIPSI

Perenggan jenis deskripsi berfungsi untuk menerangkan sesuatu. Penerangan jenis ini dihasilkan semata-mata untuk memerihalkan seseorang, sesebuah tempat, menghuraikan sesuatu proses, atau langkah demi langkah untuk melakukan sesuatu.


 

BINAAN PERENGGAN

Perenggan dibina daripada sekumpulan ayat yang berkait, yang dikembangkan daripada idea utama yang menjadi topik kepada sesuatu perenggan. Setiap perenggan merupakan unit yang terpisah. Setiap perenggan ditandai permulaannya dengan memasukkan perkataan pertama ke kanan sedikit atau mengadakan ruang di bahagian atas dan bawah nya ( terpisah daripada perenggan atau unit lain ).


 


 

Ayat Topik

Ayat topik ialah ayat yang memberikan kenyataan umum tentang sesuatu perenggan. Ayat ini merupakan 'ayat kunci' kerana ayat ini menamakan sesuatu subjek dan mengawal idea, iaitu idea utama penulis, pendapat dan pandangan tentang sesuatu topik.Ayat topik merupakan subjek yang umum dan ayat ini perlu disempitkan menjadi subjek yang lebih khusus. Apabila seseorang penulis membincangkan sesuatu topik yang umum, ia perlu menyempitkannya atau membataskannya dalam satu perenggan. Contohnya topik tentang percutian. Topik ini terlalu umum. Banyak perkara yang khusus tentang topik ini seperti perkhemahan, melawat tempat-tempat bersejarah, melancong ke luar negara, mendaki gunung dan sebagainya. Penulis perlu menyempitkan subjek percutian dengan lebih khusus seperti "Percutian di Pulau Redang".


 

Ayat Sokongan

Ayat sokongan membina ayat topik dengan memberi perincian tentang sesuatu topik. Perincian untuk menyokong ayat topik diwujudkan dengan mereka-reka soalan dan seterusnya menjawab soalan tersebut.

Ayat sokongan dalam perenggan mestilah menjawab soalan ini dengan cara menjelaskan mengapa percutian di Pulau Redang satu percutian yang menarik.


 

Ayat Kesimpulan

Ayat kesimpulan seperti juga ayat topik bahawa kedua-duanya ialah penyataan umum. Namun, ayat topik selalunya hadir pada permulaan perenggan, iaitu dalam ayat yang pertama. Ayat topik memainkan peranan untuk memperkenal tajuk yang dibincangkan, manakala ayat kesimpulan pula hadir pada ayat terakhir dalam sesebuah perenggan.

Biasanya, dalam perenggan kesimpulan, pembaca selalunya akan mendapat maklumat tentang pendirian atau pendapat kita. Ini bermakna, perenggan penutup amat penting bagi setiap penulisan. Pada umumnya, perenggan penutup mempunyai dua tujuan (Bailey Jr. et. al., 1989), iaitu:

  • sebagai tanda pengakhiran
  • untuk mengingatkan pembaca akan idea utama penulisan.


 


 

Hal ini kerana perkara yang dibaca paling akhir biasanya kekal lebih lama dalam ingatan dan seterusnya dapat memberi kesan yang tertentu. Di samping itu, pembaca juga perlu dihormati. Oleh itu, mereka haruslah diberitahu bahawa penulisan telah selesai dan penulis tidak lagi mempunyai apa-apa yang hendak dihuraikan.

Hal ini akan memudahkan pembacaan serta memberi kepuasan kepada pembaca. Selain itu, perenggan ini memberi ruang dan peluang kepada penulis untuk:

  • melahirkan pendapat
  • kebebasan fikiran
  • menggalakkan perkembangan daya fikir dan latihan membuat keputusan.


     

Apabila menulis ayat kesimpulan, beberapa kaedah boleh digunakan iaitu:

  • Guna semula idea dalam ayat topik dengan binaan ayat yang lain dan jangan

salin semula ayat topik.

  • Ringkaskan beberapa atau semua isi utama dalam perenggan.


 

Aspek Lain Dalam Perenggan: Gaya

Penulisan perenggan yang baik dan bermutu tidak boleh tidak melibatkan tiga perkara utama iaitu ringkas, padat dan tepat. Malahan, penulisan perenggan yang menarik, berkesan dan meyakinkan pembaca juga melibatkan beberapa jenis gaya. Ada empat jenis gaya yang sering dibincangkan dalam penulisan ilmiah, iaitu:

  1. Gaya Analogi
  2. Gaya Falsafah
  3. Gaya Kontras Masa
  4. Gaya Penglibatan Pembaca


     


     

  5. Gaya Analogi


     

Contohnya:

Bersenam setiap hari seperti minum pagi, iaitu kegiatan yang tidak dapat diketepikan oleh kebanyakan orang Cina lingkungan umur 50 tahun ke atas.

  1. Gaya Falsafah


     

Contohnya:

Apabila kita berbicara mengenai masa, sebenarnya terdapat dua kaedah orang melihat masa; sebilangan orang merungut kerana tidak mempunyai masa, manakala sesetengahnya berusaha mencari jalan untuk manghabiskan masa. Hakikatnya ialah masa diberikan dengan adil.


 


 


 

  1. Gaya Kontras Masa


     

Contohnya:

Bidang telekomunikasi di negara kita semakin maju dan membangun. Kalau dahulu, telefon bimbit hanya digunakan oleh ahli korporat untuk urusan perniagaan dan sebagai lambang kemegahan tetapi kini, telefon bimbit menjadi alat keperluan bagi semua orang terutamanya pelajar-pelajar IPT untuk berkomunikasi antara mereka.

  1. Gaya Penglibatan Pembaca


     

Contohnya:

Kita semua tahu mengenainya – atau kita rasa bahawa kita tahu. Kanser paru-paru! Sudah terlalu banyak orang berkata mengenai penyakit ini. Tetapi cukupkah bagi kita hanya mengetahui penyakit ini dan kesan-kesan yang dibawa bersamanya, sedangkan kita harus berpura-pura bahawa sebenarnya wabak ini tidak wujud, atau wujud pada orang lain, bukan pada diri kita?


 

Koheren

Sesebuah hasil penulisan yang baik lahir daripada idea yang tersusun kemas dan mudah difahami. Hal ini dapat diperhatikan daripada susunan ayat dalam sesuatu perenggan atau rentetan penulisan. Lazimnya, dalam satu perenggan terdapat satu ayat utama dan beberapa ayat sokongan yang mungkin merupakan ayat huraian, penjelasan atau ayat contoh. Ayat-ayat ini disusun berdasarkan kesinambungan dan pautan di antara satu ayat dengan ayat yang lain supaya jelas aliran pemikirannya dan mudah ditanggapi pembaca. Dalam penulisan ilmiah, unsur-unsur ini dikenali sebagai 'koheren' atau ketenunan.


 

Kohesi

Perpautan dalam sesuatu hasil penulisan ditentukan oleh adanya keserasian hubungan antara unsur yang ada dalam sesebuah penulisan. Keserasian ini lazimnya ditandai dengan kehadiran unsur penanda rujukan dan penghubung dalam rentetan ayat tersebut.

    Penanda rujukan ialah sebarang perkataan atau frasa yang dapat menggantikan perkataan atau frasa yang lain dalam satu wacana. Lazimnya penanda rujukan ini merujuk idea yang telah diperkatakan. Akan tetapi penanda rujukan ini boleh juga digunakan untuk menggantikan sesuatu idea yang akan dihuraikan.

1 comment:

Ilmu Penyuluh Hati said...

hai... boleh saya dapatkan sumber rujukan. terima kasih.